Tanda Bersalin Atau Bukan?
Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah cuti sekolah bagi negeri Sarawak sudah bermula. Awal 2 minggu daripada tarikh cuti pertengahan tahun yang sepatutnya. Kebetulan kena dengan cuti umum Hari Gawai, Wesak dan lain-lain. Minggu seterusnya pula cuti berganti. Maka, bercuti sebulanlah nampaknya.
Due date saya ialah 9 Jun 2018. Tarikh bermulanya juga cuti sekolah pertengahan tahun. Alhamdulillah 38 minggu hari ini. Tak perlu ambil cuti awal 2 minggu dari due date dan sempatlah kami balik kampung di Ranau, Sabah.
Semalam bertolak dari Sibu ikut jalan darat. Akhirnya sampai di Ranau selepas melalui perjalanan jauh hampir 19 jam (termasuk rehat sebentar dan lain-lain). Bergilir memandu dengan suami. Kasihan juga kalau hendak biarkan dia memandu sendiri. Maka, ku gagahkan diri juga untuk memandu walaupun sedang sarat.
Kami sampai di Ranau ketika subuh, jam 5.00 am. Terasa penat yang amat sangat. Selepas solat subuh, saya memang terus tidur sampailah jam 10.30 pagi. Kaki pun terasa bengkak dan agak kebas. Maklumlah terlalu lama duduk saja dalam kereta. Bangun saja dari tidur, minta suami tolong urutkan kaki.
Tiba-tiba, semasa suami sedang mengurut kaki, terasa seperti ada air keluar. Ingatkan cairan keputihan seperti biasa dan saya biarkan saja. Tapi tiba-tiba keluar lagi. Adalah dalam 3 kali terasa air keluar. Alamak, pecah ketubankah?
Saya pun pergi ke tandas untuk periksa. Seluar dalam lebih basah daripada biasa tetapi tidaklah terlalu basah. Keputihan pun ada sedikit. Tapi saya masih ragu-ragu sama ada ini air ketuban atau bukan. Jadi selepas mandi saya pakai pad untuk pastikan sama ada ianya air ketuban atau sebaliknya.
Selepas mandi, saya ajak suami ke pekan untuk beli sedikit barang. Dalam jam 12.30 pm keluar, balik rumah pada pukul 2.30 pm. Semasa membeli barang, perut kerap mengeras dan terasa juga braxton hicks. Kadang-kadang rasa lebih sakit dari biasa tapi masih boleh tahan.
Sampai di rumah, saya berehat dan tidur lagi memandangkan masih rasa letih. Bila periksa pad, ia tak basah langsung. Mungkin bukan air ketubanlah yang keluar pagi tadi.
Jam 4.00 pm, saya bangun dari tidur sebab nanti hendak berbuka puasa di Nulu-Nuluw Farmstay Kundasang (homestay mertua). Tiba-tiba saya terasa macam ada cairan keluar lebih banyak dari biasa.
Terus saya ke tandas untuk periksa, tengok-tengok ada banyak lendir pekat seperti gam keluar. Alamak, cepat-cepat panggil suami untuk tengok. “Macam tanda bersalin ja ni b“kataku.
Saya pernah terbaca pasal salah satu tanda bersalin iaitu keluar lendir pekat seperti gam . Tapi saya belum mahu ke hospital lagi sebab takut nanti akan diseluk dan kontraksi pun akan bermula. Begitulah pengalaman bersalin yang lepas-lepas. Asal diseluk, tiba-tiba pula kontraksi bermula.
Sekarang ini kami sedang dalam perjalanan ke farmstay mertua. Braxton hicks terasa sikit-sikit. Tapi apapun jika sakit makin bertambah, maka akan segeralah ke hospital nanti.
Kesimpulannya, mungkin ini memang tanda hampir bersalin sebab lendir pekat seperti gam itu ialah mukus. Biasanya, kalau sudah ada tanda seperti ini maka tandanya tidak lama lagi akan bersalin.
Wah, saya kena bersiap sedia walaupun sebenarnya saya sangat belum bersedia lagi sebab masih penat dengan perjalanan jauh.
Apapun, nanti saya update lagi. Manalah tahu saya bersalin malam ini atau esok kan hehe. Doakan saya dipermudahkan bersalin ya. Jumpa lagi.
Selamat berbuka puasa semua.
P/S : Entri ini sebenarnya ditulis pada 27 Mei 2018 tetapi lewat publish kerana sibuk berjuang menahan kontraksi hehe.