Doa Isteri Mustajab Untuk Suami Murah Rezeki
Assalamualaikum,
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT di atas kurniaan rezekiNya yang tidak terhingga kepada kami sekeluarga. Bulan lalu KKM ada telefon suami dan memberitahu bahawa suami mendapat jawatan sebagai Jurutera Elektronik J41 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Apabila suami memberitahu berita itu kepada saya, rasa teruja juga. Syukur kerana suami memang jurusan elektrical engineer. Memang bidang dia. Saya tahu dia gembira memandangkan sudah setahun lebih dia berhenti kerja sebagai elektrical engineer di syarikat swasta. Saya tahu dia sangat rindu dengan kerjanya.
Dahulu, dia berhenti kerja pun sebab saya yang desak. Sebabnya, nak sangat pindah di Ranau. Tempat sendiri lebih mudah memandangkan anak sudah ada 3 orang. Sakit dan sebagainya, ada juga keluarga dekat nak tengok-tengokkan.
Berbalik kepada cerita mendapat jawatan Jurutera Elektronik J41 ni tadi, akhirnya surat daripada SPA sudah sampai pada 4hb Oktober lepas. Syukur Alhamdulillah. Memang officially lah suami dapat jawatan tu. Kerja government. Rugi juga nak tolak walaupun saya dah terbiasa suami sentiasa dekat dan ada di sisi.
Sekarang kena tunggu surat dari KKM pula. Nanti KKM yang akan beritahu di mana suami dapat tempat bertugas. Minta-minta dapat di Hospital Ranau. Aamiin…Ya Allah, saya nak sangat suami dapat tempat kerja yang dekat. Sebab saya dan anak-anak perlukan suami. Anak-anak pun masih kecil lagi. Si bongsu baru berumur 1 tahun 5 bulan. Kecil lagi.
Kisah sebenar yang ingin saya kongsikan..
Baiklah, apa yang ingin saya kongsikan di sini sebenarnya ialah sedikit kisah tentang perkara berkait dengan rezeki suami ni. Mungkin hal kecil sahaja, cuma manalah tahu ada di antara anda di luar sana yang lupa bahawa doa seorang isteri itu penting untuk suami.
Kisahnya..
Merungut tentang semuanya di bawah tanggungan saya sebagai seorang isteri
Tahu kan? Apabila kita seorang diri sahaja yang bekerja dan berusaha mencari pendapatan sampingan lain dengan berbisnes online, kita akan berasa sangat penat dan stress. Apatah lagi apabila yuran taska anak, bila air dan elektrik, susu dan pampers, duit untuk ibu bapa, duit untuk belanja adik yang masih belajar dan lain-lain…semuanya kena tanggung sendiri. Tiada tempat lain untuk meminta. Hanya diri sendiri perlu berusaha mendapatkannya.
Lalu di sanalah bermula rungutan terhadap suami. Menyalahkan suami sebab kita kena tanggung semuanya seorang diri. Sedangkan jauh di sudut hati sebenarnya sedar bahawa itu semua adalah ketentuan Allah. Suami pun bukannya tidak mahu bekerja. Bukannya langsung tidak membantu malah suamilah yang banyak berkorban dalam menjaga anak-anak. Menguruskan anak-anak. Melayan anak-anak ketika saya sibuk.
Tak pernah langsung suami merungut walaupun saya tahu dia penat. Bangun tengah malam atau jam 2 pagi untuk membuat susu anak. Semua itu suami buat. Dia tak merungut. Saya tak pernah bangun tengah malam untuk membuat susu anak. Anak kencing di tilam, muntah dan lain-lain, suamilah yang akan mengurusnya.
Saya? Saya banyak relaks sebenarnya.. Tapi, itulah. Bila sudah rasa tertekan, memang rasa nak marah. Orang yang jadi mangsa ialah suami. Marah suami pun sebab nak melepaskan rasa stress sahaja. Kadang kita marah, kita hanya fikirkan perasaan sendiri tapi lupa fikirkan tentang perasaan suami. Kasihan suamiku…maaf ya hubby sayang..
Tersedar apabila membaca perkongsian di Facebook mengenai doa isteri untuk suaminya..
Suatu hari, sedang membaca berita dan post di facebook, saya terbaca tentang Doa Isteri Untuk Suami. Apabila membaca doa tersebut dan perkongsian mengenainya, di sana timbul kesedaran dalam diri saya. Saya lupa!
Saya lupa untuk mendoakan suami saya. Tiap kali usai solat, saya doakan ibu bapa saya, keluarga saya, anak-anak saya, rakan-rakan dan guru saya, anak murid saya. Tetapi saya lupa berdoa untuk suami saya. Ya Allah, bagaimana boleh lupa..
Sejak dari itu, barulah saya sedar dan mulai mendoakan suami.
Ya…saya mendoakan suami. Meminta Allah memudahkan suamiku dalam mencari rezeki agar suami dapat menunaikan nafkah zahir kepada saya dan anak-anak. Doa ini pasti setiap kali usai solat. Saya ikhlas dan redha dengan suami. Saya maafkan dan saya halalkan setiap sen duit saya yang diguna untuk perbelanjaan harian, anak-anak dan keluarga.
Alhamdulillah, saya tenang. Saya tidak lagi berasa berat walaupun kadang-kadang masih berasa risau. Cuma saya tidak lagi menyalahkan suami, malah berusaha sedaya upaya untuk tidak membebel dan memarahi suami untuk perkara yang remeh temeh.
Allah makbulkan doa saya!
Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Allah kurniakan kepada suami saya pekerjaan ini. Pekerjaan yang memang bukan mudah untuk dapat. Selepas setahun menghadiri temuduga dan menjadi calon simpanan, akhirnya Allah permudahkan…
Lalu, saya berasa sangat terharu. Apa yang saya pelajari, saya rasa sebagai seorang isteri, kita mestilah redha dengan suami. Kita mestilah ikhlas membantu suami. Kita wajib mendoakan suami kerana doa seorang isteri itu mustajab untuk suaminya.
Maka, puan-puan di luar sana. Jika saat ini, anda berasa down kerana letih mencari rezeki seorang diri, rasa diri terbeban kerana menganggap suami tidak membantu, maka sedarlah…mungkin anda lupa berdoa untuk suami. Doakanlah suami anda..doakanlah yang baik-baik untuknya..
Jika anda sudah berdoa, maka tunggulah. Allah lebih tahu masa yang sesuai. Mungkin ada sesuatu yang besar menanti di hadapan. Teruskan berdoa..kena yakin dan berfikir yang baik-baik sahaja supaya yang baik itu akan datang kepada anda.
Mudah-mudahan ini dapat menyedarkan kita semua. Saya menulis agar saya sentiasa ingat kisah ini. Sama juga ketika suatu ketika dulu, di mana saya sangat redha dan berserah pada Allah, akhirnya saya dapat pindah tempat bertugas di Ranau tanpa perlu merayu atau mencari kabel-kabel yang kuat. Tiada kabel, Allah sahaja kabel terkuat untuk kita. Berdoalah…jangan lupa..Allah Maha Mendengar.