Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ibu-ibu semua,
Cara Implanon Dibuka|| Hari ini, 20 Mac 2017 saya ke ke klinik berjumpa doktor minta dibukakan implanon (alat perancang kehamilan) yang saya pasang pada 20 Julai 2015. Baru sahaja setahun lebih. Sebenarnya tempoh implanon saya adalah 3 tahun. Julai 2018 barulah tamat tempoh.
Namun, oleh sebab haid saya sangat tidak teratur dan berpanjangan, maka saya pun berbincang dengan suami tentang hal ini. Keputusannya, kami berdua bersetuju untuk buka implanon. Sebelum ini saya juga tertanya-tanya, apa cara implanon dibuka? Jadi hari ini saya ingin berkongsi dengan anda bagaimana Cara Implanon Dibuka.
Pasang Sekejap saja, Bukanya Lama Sikit

Cara Implanon Dibuka
Semasa saya dipasangkan implanon ini dulu, sekejap sahaja sudah selesai. Tak sampai 10 minit pun. Doktor pun memang ada bagitahu yang hendak pasang implanon senang saja, bukanya yang ambil masa sedikit. Tadi pun memang agak lama jugalah tapi tidaklah sampai 30 minit. Mungkin 15 minit begitu.
Mula-mula doktor bius. Kemudian, ada rasa macam dihiris pisau. Rasa sedikit ngilu mungkin sebab ubat bius belum bertindak sepenuhnya. Doktor macam ada gunting-gunting sikit, korek-korek sikit. hehe. Tak terasa sakit. Sebab rasa kebas kesan daripada ubat bius. Jangan risau. Cuma perasaan ngeri dan ngilu itu tetap ada. Rasa tak sabar hendak siap.
Bila sudah siap, saya pun tengoklah implanon yang sudah dibuka tu. Hmm agak panjang juga. Nampak bekas implanon tu macam berlubang pula. Ingatkan doktor gunting memanjang. Tidak. Doktor gunting dan buat satu lubang saja. Lepas itu doktor tarik implanon itu keluar sambil picit-picit, tekan-tekan sikit. Sebenarnya, sepanjang proses implanon saya dibuka, saya tak tengok. Takutlah! Cuma rasa sajalah apa yang doktor tu sedang buat. hehe.
Implanon Saya Sudah Dibuka!

Macam inilah juga situasinya (Sumber Google)
Macam tidak percaya pula yang implanon saya sudah dibuka. Rizqi pun sudah genap 2 tahun 14 April depan. Sebulan saja lagi. Kalau ada rezeki adiknya, alhamdulillah. hehe. Walaupun sebenarnya hendak tunggu Rizqi besar sedikit sehingga 3 atau 4 tahun. Tapi, besar juga harapan kami suami isteri, mudah-mudahan kalau ada rezeki anak yang ke 4, dapatlah anak perempuan. Jom kita doa sama-sama, Mudah-mudahan ada rezeki pasangan suami isteri ini, Farizah binti Hamid dan suaminya Faysal Ezwen Jupirin dapat anak kembar perempuan. Aamiin.. Terima kasih!
Kena Makan Antibiotik
Doktor bagi saya ubat tahan sakit, antibiotik yang perlu dimakan sehingga habis dan krim untuk sapu pada tempat yang luka tu. Rasanya sekejap lagi pasti sakit berdenyut-denyut. Besar juga lubang itu. Sekarang ini masih belum terasa sakit sebab ada kesan ubat bius. Sama juga macam mula-mula pasang implanon. Doktor kata, balutan buka selepas 3 hari. Aduh lamanya. Tapi mengikut pembacaan boleh juga buka selepas 24 jam. Tengoklah nanti mana-mana yang saya selesa, saya buat. Tak boleh kena air juga doktor kata.
Harga Buka Implanon
Oh ya, harga buka implanon ini ialah RM50 nett. Tiada tambahan GST ya. Mungkin sudah termasuklah tu. hehe.
Baiklah itu sahaja perkongsian saya tentang Cara Implanon Dibuka. Mudah-mudahan perkongsian saya ini dapat menenangkan hati ibu-ibu di luar sana yang hendak buka implanon tu. Jangan risau, tak sakit pun. Ngilu saja. Memang tak sakit.
Terima kasih sudi baca. Lepas baca sudilah komen. Kongsi sikit pengalaman ibu-ibu..
Jumpa lagi!