Cara Stabilkan Tekanan Darah Rendah || Tekanan darah rendah juga dikenali sebagai hipotensi. Ia merupakan satu masalah yang jarang berlaku dalam kalangan masyarakat jika hendak dibandingkan dengan masalah tekanan darah tinggi. Ingat, masalah tekanan darah rendah ini adalah berbeza dengan masalah Hb (hemoglobin) rendah ataupun anemia.
Faktor Yang Mempengaruhi Tekanan Darah
Tekanan darah sebenarnya dipengaruhi oleh banyak faktor seperti :
- Emosi
- Tahap tekanan
- Aktiviti fizikal
- Keadaan semasa (demam atau tidak)
- Saiz tubuh badan
- Posisi badan
- Makanan yang diambil
- Suhu persekitaran.
Bacaan tekanan darah boleh berubah-ubah dalam selang masa yang singkat dan kebiasaannya bacaan tekanan darah lebih rendah pada waktu malam.
Apa Itu Tekanan Darah Rendah?
Biasanya, anda dikatakan mengalami tekanan darah rendah apabila ada salah satu bacaan bahagian atas (sistolik) kurang daripada 90 dan tekanan bawah (diastolic) kurang daripada 60 mmhg atau kedua-duanya kurang daripada angka tersebut.
Apakah Penyebab Tekanan Darah Rendah?
Antara penyebab tekanan darah rendah adalah :
- Berlakunya kekurangan volum darah (cecair mengalir dalam saluran darah seperti pendarahan yang tidak boleh terkawal).
- Dehidrasi (yang mengurangkan kandungan cecair dalam badan seperti kes muntah yang teruk dan cirit-birit).
- Masalah jantung (denyutan jantung yang agak cepat mahupun sebaliknya yang terlalu lambat dan keadaan otot yang lemah).
- Kehamilan
- Mereka yang mengalami alahan yang teruk
- Gaya hidup kurang sihat
- Kurang bersenam
- Kurang mengambil makanan berkhasiat
- Terlalu penat
- Kurang berehat
- Stress
- Terlalu bekerja
Tekanan darah rendah juga adalah berpunca daripada pelbagai penyakit yang telah sedia ada seperti :
- Penyakit jantung koronari
- Lemah jantung
- Gangguan rentak jantung
- Masalah injap jantung
- Penyakit buah pinggang
- Kencing manis yang tidak terkawal
- Paras gula rendah
- Penyakit berkaitan sistem endokrin seperti penyakti adrenal dan tiroid
- Kesan sampingan daripada ubat-ubatan yang diambil
- Faktor genetik
Apakah Gejala Atau Tanda-Tanda Awal Tekanan Darah Rendah (Hipotensi)?
Antara gejala atau tanda-tanda awal masalah tekanan darah rendah ialah :
- Sakit kepala atau migrain
- Pengsan
- Tidak bermaya
- Jantung berdebar-debar
- Penglihatan kabur
- Gangguan tidur
- Cepat penat, lesu dan lelah
- Rasa mual
- Pening kepala ketika posisi badan berubah
- Sukar untuk berkonsentrasi
- Mata berkunang-kunang
- Kulit berasa dingin
- Pucat dan lembap
- Pernafasan cepat dan pendek
- Berpeluh sejuk
- Cepat haus
Jika anda mengalami gejala ataupun tanda-tanda awal tekanan darah rendah seperti di atas, segeralah berjumpa dengan doktor.
Ini penting untuk mengetahui kenapa tekanan rendah terjadi dan berapa cepat tekanan darah anda menurun dalam satu-satu masa bagi mengelakkan sebarang perkara yang lebih serius terjadi.
Apakah Risiko Dan Kesan Tekanan Darah Rendah?
Anda tidak seharusnya memandang ringan terhadap masalah tekanan darah rendah kerana ia boleh mengakibatkan :
- Setiap organ dalam badan tidak mendapat aliran darah yang mencukupi dalam masa yang singkat lalu menyebabkan timbulnya simptom hipotensi.
- Pesakit boleh pitam atau pengsan.
- Boleh menyebabkan kematian dalam sesetengah keadaan.
- Badan menjadi lemas.
- Aktiviti harian terganggu
- Tidak fokus
- Kerja harian tergendala
Jika anda mengalami masalah tekanan darah rendah, doktor akan melakukan :
- Ujian darah untuk melihat kepada paras gula, kolesterol, hemoglobin dan fungsi buah pinggang
- Ujian elektrokardiogram (ECG)
- Echocardiogram iaitu ultrasound jantung
- Ujian tekanan (stress test).
Untuk kes-kes tertentu ujian yang lebih spesifik perlu dilakukan seperti :
- Ujian paras hormon
- Ujian tilt table
- Ujian menuver valsalva
Ujian Tekanan Darah
Ujian tekanan darah dilakukan dengan mengambil dua ukuran dengan bacaan dan bagi tekanan darah normal dan optimal adalah sekitar 120/80 mmHg.
Nombor 120 menunjukkan tekanan ke atas arteri akibat denyutan jantung atau sistolik di mana jantung ketika ini mengecut dan nombor 80 pula menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman dipanggil diastolik.
Ketika ini jantung mengembang dan apabila salah satu bacaan ini rendah, ia menandakan tekanan darah anda rendah.
Masalah timbul apabila tekanan darah turun secara mendadak yang biasanya disebabkan oleh penyakit berkaitan dengan :
- Pendarahan akut
- Kurang darah (anemia)
- Kandungan gula yang rendah
- Jangkitan kuman
Jika tekanan darah turun daripada 120/80 kepada 90/60 secara mendadak atau dikatakan sebagai perubahan akut, ia menunjukkan sesuatu yang tidak normal.
Keadaan ini amat berbahaya kerana akan menyebabkan kekurangan oksigen di tempat penting seperti jantung dan otak yang boleh menyebabkan pesakit pitam atau pengsan.
Justeru, darah mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk sampai ke otak dan situasi ini dipanggil hipotensi postural. Anda boleh terasa pening jika anda berbaring terlalu lama.
Cara Stabilkan Tekanan Darah Rendah
Jika anda mengalami masalah tekanan darah rendah, anda boleh mencuba tip di bawah :
- Selepas bangun tidur, duduk dan buat (senaman ringan) stretching dahulu sebelum bangun dan berdiri perlahan-lahan.
- Jangan berdiri terlalu lama untuk mengelakkan daripada kekejangan (cramp) dan peredaran darah tidak lancar.
- Pakai stokin compression untuk melancarkan peredaran darah.
- Cuba elakkan minum kopi pada waktu malam supaya tidak mengalami dehidrasi.
- Makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap untuk elakkan tekanan darah rendah yang biasanya terjadi selepas waktu makan (postprandial hypotension).
- Sentiasa pastikan anda meminum air kosong secukupnya untuk elakkan daripada dehidrasi.
- Mengambil vitamin atau supplemen yang sesuai untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan anda (terutama jika anda tidak mengamalkan diet pemakanan seimbang dan cukup nutrien setiap hari).
Sebagai kesimpulannya, masalah tekanan darah rendah merupakan suatu situasi yang boleh dirawat dan apa yang penting adalah untuk mengetahui apakah punca sebenar berlakunya tekanan darah rendah.
Jangan lupa untuk mendapatkan nasihat doktor jika anda mengalami simptom tekanan darah rendah. Amalkan juga tips yang diberi sebagai cara stabilkan tekanan darah rendah.